Facebook Fan

Tuesday, 28 August 2018

Pentingnya Menjaga Postur Tubuh

Ciptaan Allah swt membentuk dan menyusun postur binaan tulang-tulang manusia adalah sememangnya sangat sempurna. Salah satu tujuannya ialah untuk memudahkan mengimbangi pergerakan dan dapat melentur tubuh manusia. Misalnya, apabila kita melompat, kita akan guna hujung jari kaki untuk menyerap hentakan. Bagaimanapula kalau tiada tulang-tulang jari kaki? Sudah tentu kita melompat dengan menghentak pada kedua-dua tumit kita, bukan? Sudah pasti badan dan otak kita bergegar akibat kesan langsung hentakan tersebut. Sekalipun badan kita lemah atau berat, tulang -tulang kaki yang kecil itu di bahagian tapak mampu menampung beban dan pergerakan tubuh di atas apa saja bentuk muka bumi ini.


Perlu ditanam dalam fikiran kita bahawa tulang bekerja mengikut arahan otot. Manakala saraf pula dikendalikan oleh otak. Jika tulang atau sendi menghimpit saraf, maka sistem isyarat otak dan tubuh terganggu dan boleh menyebabkan tubuh kita sakit. Oleh itu kedudukan tulang hendaklah seimbang dan betul berada di kedudukan sendinya agar tidak menganggu fungsi saraf. Sebab itu ramai yang awalnya mengadu,

   “Tak boleh berjalan sebab lutut saya sakit”
   “Tak boleh rukuk, kerana pinggang sakit”
   “Tak boleh berdiri tegak, sebab perut saya sakit”
   “Saya tak boleh naik tangga, sebab kepala saya akan berpusing”

dan macam-macam lagi keluhan. Mereka menyalahkan anggota tubuh berkenaan tetapi puncanya mereka tidak sedari. Begitu juga seseorang itu jatuh, dan kemudiannya mengadu masalah sakit seperti sakit sendi, kepala atau pening dan sebagainya. Sedangkan tiada apa-apa kesan lebam, patah atau kecederaan dapat dikesan. Jadi apakah sebenarnya yang berlaku membuatkan tubuh kesakitan? 

Terdapat juga pesakit yang mengeluh mengapa dia sakit secara tiba-tiba sedangkan tiada ada apa-apa berlaku kemalangan. Malah mereka tertanya kenapa sebelah anggota badan sahaja yang sakit, misalnya mengapa lutut kanan sudah kehilangan cartilage tetapi sebelah kiri tidak? Begitu juga mereka berfikir kenapa sakitnya berulang kembali. 

Semua masalah ini sebenarnya banyak berpunca daripada sistem musculoskeletal tidak berfungsi dengan baik. Sistem musculoskeletal terdiri daripada otot, sendi, tulang, saraf dan tendon. Jika elemen-elemen ini digabungkan membentuk satu objek dinamakan postur tubuh. Oleh itu, postur boleh didefinisikan sebagai bentuk tubuh dan keadaan tubuh dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

Misalnya, bentuk tulang belakang seperti S dari sudut sisi merupakan rekabentuk geometrik yang memudah keseimbangan pergerakan, mengimbangi beban dan menyerap gegaran tubuh. Jika berlaku kemalangan, boleh akibatkan tekanan pergerakan, mampatan dan hentakan yang mengubah bentuk asal tulang belakang kepada tidak stabil seperti bentuk I, J atau C dari sisi tubuh. 

Asasnya apabila berlaku kesukaran pergerakan pada tubuh kita, kejanggalan atau kesakitan, sebenarnya memberikan isyarat bahawa tubuh kita sedang atau akan menghadapi masalah. Rasa sakit ini merupakan isyarat umpama built-in alarm menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam tubuh kita. Sebab itu banyak kes, punca sakit jarang berlaku dikawasan keluhan kerana dikawasan keluhan itu adalah alarm, manakala punca masalahnya berada ditempat lain.

Memang benar kaedah menghilangkan sakit adalah satu bentuk rawatan. Tetapi sebenarnya terdapat satu lagi bentuk rawatan iaitu merawat akan puncanya. Tanpa mengetahui puncanya serta rawatannya, sakitnya mungkin berulang semula. 

Pembetulan struktur postur tubuh dapat dilaksanakan dengan baik jika dibuat di sebelah pagi melalui senaman khusus untuk pembetulan postur. Kita boleh menguji kestabilan tubuh kita selepas senaman berkenaan. Tanggalkan kasut dan rasakan kestabilan tubuh anda sambil berjalan-jalan. Kemudian cepat-cepat  menggunakan hujung jari kaki (berjengket) dan berjalan ke belakang. Jika berasa tidak stabil juga, maka carilah kasut yang bersesuaian untuk sementara waktu. Pergerakan postur tubuh yang seimbang dan lancar dengan sendirinya akan memudahkan sistem tubuh manusia mendapatkan bekalan tenaga dengan sempurna untuk sihat sejahtera.

Wednesday, 1 August 2018

Penyakit Mental Meningkat di Malaysia?


Menurut bekas Menteri Kesihatan Malaysia Dato’ Sri Liow Tiong Lai dalam kenyataan rasminya pada tahun 2012, di peringkat global, gangguan mental dan tingkah laku dijangka akan meningkat dari 11% kepada 15% daripada beban penyakit menjelang tahun 2020. Kemudian sewaktu Menteri Kesihatan Malaysia 2016, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam juga menegaskan semula dengan melaporkan seramai 450 juta individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental, di mana gangguan mental, penyakit neurologi dan penyalahgunaan substans adalah menyumbang kepada 13% daripada beban penyakit global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut meramalkan serta memberi amaran bahawa di peringkat global, kemurungan yang merupakan salah satu gangguan mental akan menduduki tempat ke-2 teratas di bawah penyakit jantung iskemia. Kemurungan juga menjadi salah satu faktor risiko untuk tingkah laku bunuh diri. WHO juga menganggarkan 1 dalam 4 individu mengalami gangguan mental pada satu-satu ketika dalam kehidupan mereka. Manakala, penyakit kemurungan (depression) menyumbang sebanyak 4.3% daripada beban penyakit global keseluruhan di mana ianya merupakan salah satu penyebab terbesar morbiditi.

Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2011 telah mendapati bahawa prevalen kemurungan di kalangan masyarakat dewasa adalah 1.8% manakala prevalen keresahan adalah 1.7%. Kaum perempuan menunjukkan prevalen gangguan mental yang lebih tinggi berbanding lelaki. Prevalen kemurungan bagi perempuan adalah 2.3% berbanding 1.4% bagi lelaki. Di kalangan kanak-kanak dan remaja pula, kajian yang sama mendapati masalah kesihatan mental telah meningkat dari 19.4% dalam tahun 2006 kepada 20.0% dalam tahun 2011.  Kajian juga mendapati  bahawa bagi tingkah laku bunuh diri di kalangan masyarakat dewasa, 1.7%, mempunyai idea bunuh diri, 0.9% pernah merancang untuk membunuh diri dan 0.5% pernah mencuba membunuh diri. 

Pada tahun 2015, kajian mereka berlaku peningkatan apabila mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2% (anggaran 4.2juta). Ini bermaksud 1 dalam 3 masyarakat Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental. Ini adalah peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006. Kajian ini turut menunjukkan bahawa prevalen masalah kesihatan mental juga adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16-19 tahun dan di kalangan golongan yang berpendapatan rendah. 

Masalah kesihatan mental boleh dilihat berlaku kepada sesiapa sahaja sepanjang kehidupan mereka. Antara faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kenaikan 2 kali ganda prevalen masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun yang lepas (10.6% pada tahun 1996; 11.2% pada tahun 2006) adalah masalah atau krisis kewangan, tiada pekerjaan, stress pekerjaan, isu dan permasalahan keluarga seperti masalah hubungan, penceraian, kurang kemahiran keibubapaan, keganasan, penyalahgunaan substans dan faktor persekitaran. Selain itu, faktor-faktor ini sekiranya ditambah pula dengan kurang kemahiran daya tindak (poor coping skill) dan kurang sokongan sosial akan lebih memburukkan status kesihatan mental seseorang.

Namun ramai yang masih tidak menyedari perlunya juga penjagaan kesihatan mental di tempat kerja bagi menghasilkan suasana yang selamat, kondusif dan produktif. Pengarah Eksekutif Persekutan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, memang terdapat peningkatan masalah berkaitan tekanan perasaan di tempat kerja. Peningkatan itu disebabkan tekanan hidup yang semakin mencabar, terutamanya di kawasan bandar-bandar besar. Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau tidak. 

Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut dilaporkan berkata, antara faktor kelemahan di tempat kerja ialah kelemahan organisasi; keselamatan di tempat kerja; beban kerja melampau; tugasan yang mempunyai konflik; kurang keyakinan terhadap masa hadapan; masalah antara pekerja; penderaan fizikal, psikologi dan seksual; kurangnya sokongan daripada pihak atasan serta kelemahan komunikasi. Terdapat juga pihak majikan dan pengurusan menafikan hak pekerja untuk mendapatkan keseimbangan di antara pekerjaan dan kehidupan. Justeru, adalah penting bagi setiap organisasi untuk merangka pelan mengurangkan tekanan dengan menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan seterusnya menambah produktiviti dan memberi pulangan yang baik. Perlu diingatkan, pekerja yang tertekan bukan sahaja akan memperlahankan produktiviti, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan dan kece­deraan di tempat kerja. Beliau percaya setiap pekerja sewajarnya diberikan tempat kerja yang selamat dan persekitaran sihat serta bebas daripada penyakit dan kemalangan sebagai hak asasi manusia.

Usaha kerajaan tidak dinafikan apabila KKM berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah di semua sekolah menengah seluruh Malaysia. Dari aspek rawatan dan rehabilitasi, terdapat 48 Buah Hospital KKM dan 4 institusi mental yang memberikan perkhidmatan psikiatri, sementara 671 buah klinik kesihatan dan 20 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat turut memberi perkhidmatan saringan dan intervensi bagi membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Satu kumpulan Teknikal yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang kesihatan mental daripada KKM, agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan sedang membentuk satu pelan tindakan strategik kesihatan mental kebangsaan untuk tempoh 5 tahun (2016-2020). Antara tindakan yang digariskan dalam pelan tindakan ini adalah:
  • Perkhidmatan kesihatan mental yang lengkap dan menyeluruh
  • Kerjasama dalam kalangan pelbagai agensi
  • Promosi Kesihatan Mental dalam kalangan komuniti, warga sekolah dan warga bekerja
  • Untuk memastikan kesejahteraan mental dan meningkatkan literasi kesihatan mental
  • Pembangunan Sumber Manusia dalam kesihatan mental
  • Bantuan Asas Psikologi dalam Krisis
  • Penyelidikan dan Surveilan dalam Kesihatan Mental
KKM juga menggesa ahli keluarga dan penjaga individu yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental, dan juga komuniti untuk sama-sama memainkan peranan bagi memastikan individu tersebut dibawa ke fasiliiti kesihatan untuk mendapatkan penilaian lanjut.

Sumber: KKM (2012 & 2016) & Utusan Online

Tuesday, 31 July 2018

Penyakit Ain adalah punca utama masalah kesihatan & bisa membunuh!



Penyakit Ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata orang lain yang disertai dengan rasa kagum atau sifat iri hati kepada mangsa. Pandangan ini boleh terjadi dikalangan keluarga, orang yang disayangi, orang jahat atau orang luar yang dikenali ataupun tidak dikenali. Ibnu Hajar rahimahullah berkata “Bahawa ‘ain dapat terjadi bersama rasa takjub walau tanpa adanya sifat iri, walaupun dari orang yang mencintai ataupun dari seorang yang soleh (tanpa disengaja).” [Fathul Baari, 10/205]

Pandangan ini menyebabkan terjadi kemudaratan terhadap siapa yang dilihat itu. Menurut dalam hadis Musnad Ahmad, “Al-Ain adalah benar yang didatangkan oleh syaitan, dan oleh hasad dengki anak Adam”. 

Penyakit ain ini sememangnya wujud dan bukan khurafat sepertimana yang disangka kan oleh masyarakat moden sekarang. Penyakit ini mudah dideritai oleh bayi yang masih belum kuat ketahanan dirinya. Inilah yang sering diberi perhatian oleh masyarakat Melayu mengelak puji-pujian kepada anak-anak yang baru lahir. Hindarkan juga mengungkap kelebihan-kelebihan yang dimiliki anaknya, kerana hal itu dikhuatirkan akan menimbulkan ketakjuban ataupun iri hati pada orang lain.  Dari sabda Nabi saw;
Daripada Abdullah bin `Amir, “Apabila seorang dari kalian melihat sesuatu dari saudaranya, atau melihat diri saudaranya, atau melihat hartanya yang menakjubkan, maka hendaklah ia mendoakan keberkahan untuk saudaranya tersebut, kerna sesungguhnya penyakit ‘ain benar-benar ada.” (Riwayat. Ahmad)

Sebagaimana pernah terjadi di zaman Nabi saw. Dari Zainah puteri Ummu Salamah dari Ummu Salamah r.a  bahawa baginda melihat seorang anak perempuan di rumah Ummu Salamah. Di wajah anak itu ada warna kehitaman. Beliau kemudian berkata kepada Ummu Salamah,
“Ruqyahlah dia, kerana dia terkena ‘ain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun penyakit ini tidak terhad pada bayi atau kanak-kanak sahaja, juga boleh menimpa kepada orang dewasa. Antara itu sebabnya Islam melarang 'majlis bersanding' adalah demi menjaga pengantin terbabit dari terkena 'penyakit ain' yang boleh memudaratkan pasangan pengantin terbabit. Begitu juga dengan gambar-gambar dari media sosial boleh mendatangkan kemudaratan punca penyakit ain. Sebagaimana pernah terjadi pada sahabat Nabi, Sahl bin Hunaif yang terkena ain dari sahabat yang lain, iaitu Amir bin Rabiah. 

“Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, ia berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika ia sedang mandi, lalu Amir terlihat dan berkata: Aku tidak pernah melihat kulit yang sebagus ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun. Maka tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lalu beliau dibawa kepada Nabi saw, seraya dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Beliau bersabda: “Siapa yang kalian curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Beliau bersabda: “Kenapakah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Seharusnya apabila seorang dari kalian melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah ia mendoakan keberkahan untuknya.” Kemudian beliau meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu, Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam sarungnya. Dan Nabi saw memerintahkannya untuk menyiramkan kepada Sahl.” Berkata Sufyan, berkata Ma’mar dari Az-Zuhri: Beliau memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Jelas juga penyakit ain mampu mendatangkan kematian walaupun tidak disengajakan dari zahirnya. Sebagaimana sabda Nabi saw;
“Kebanyakan yang mati pada ummatku setelah qadha dan qadarnya Allah adalah kerana pengaruh pandangan mata jahat” (Riwayat Bukhari)

Bagaimanapun penyakit ain boleh diubati dengan ruqyah, sebagaimana Nabi memerintahkan Aisyah supaya mengambil ruqyah untuk penyakit Ain’
“Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat) kecuali untuk penyakit ‘ain atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda mengajar juga berkenaan ruqyah yang bersesuaian menghindarkan penyakit ain sewaktu melindungi cucunya, Hasan dan Husin, iaitu;
أَعُيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
 “Aku memperlindungkan kalian berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna dari setan, binatang berbisa dan mata yang dengki (makna yang lain: segala macam bahaya).” (Riwayat Bukhari)

Untuk mengelakkan al-Ain terkena kepada orang lain, juga digalakkan menyebut zikir apabila melihat sesuatu yg mengkagumkan. sebagaimana saranan al-Quran: “Dan mengapakah tidak apabila kamu memasuki kebunmu, kamu berkata: Masya Allah, La haula wala quwwata Illa Billah”. (petikan dari surah al-Kahfi ayat 39)

Selain itu jika pelakunya diketahui, maka orang tersebut diperintahkan untuk berwudhu sebagaimana kisah Sahl dan Amir. Bekas wudhu orang tersebut digunakan untuk memandikan mangsa yang terkena ‘ain. Jika tidak diketahui siapakah puncanya, maka ruqyahlah penawarnya. Perbanyak membaca surat Al-Ikhlas, An-Nas dan Al-Falaq, Al-Fatihah, ayat Kursi, 2 ayat terakhir surat Al-Baqarah, dan mendoakan dengan doa-doa yang disyariatkan. Lalu ditiup pada air dan diberikan minum dan mandikan kepada mangsa.

Sunday, 22 July 2018

Rahsia Rawatan Digastric untuk pelbagai Masalah Saraf

Otot digastric terdiri daripada dua bahagian iaitu posterior belly dan anterior belly. Posterior belly bermula dari sempadan tengkorak kepala (belakang cuping telinga) dan anterior belly yang bermula dari bawah dagu (tulang mandible). Kedua-dua otot ini bertemu di tulang hyoid. Sila rujuk gambar dibawah;


Otot digastric juga dikaitkan dengan masalah rounded shoulder, thoracic kyphosis, forward head dan masalah tulang belakang servikal melengkung. Jika digabungkan dengan senaman berkaitan postur tubuh boleh membantu masalah tulang belakang serviks, postur bahu dan tulang belakang toraks.

Jika ada gabungan urutan dengan otot-otot sebelahnya (stylohyoid dan sternocleidomastoid) pula akan membantu masalah TMJ, pening, telinga berdesing, sakit kepala termasuk migrain dan beberapa masalah neurologi. Ini juga membantu kesulitan mengunyah, bercakap dan menelan. Di bahagian posterior belly pula mempunyai titik ransangan biologi paratiroid yang sangat membantu menangani masalah otot dan saraf tubuh. Ia sangat membantu banyak masalah neurologi yang terjejas seperti Lou Gehrig's Disease, Parkinson, masalah sclerosis, cerebral palsy dan Cerebral Vascular Accident.  

Urutlah secara lembut pada otot ini bermula dari sempadan tengkorak kepala dan mandible. Bolehlah rujuk youtube dari kalangan mereka yang professional dalam bidang urutan. Lakukan urutan itu secara istiqamah dengan 7 sesi dalam sehari. Bila nampak keberkesanan barulah dikurangkan kadar sesi urutan. Boleh juga diletakkan ais dalam 3-5 minit sahaja (jika perlu). 


# Pastikan sebelum urutan dilakukan, hendaklah melembut dan melonggarkan saraf terlebih dahulu dengan apa jua teknik. Ini penting mengelak berlaku kerosakan jika urutan dalam kondisi otot keras, tegang, sumbatan, kecederaan dan sensitif. 

Sunday, 8 July 2018

Kesesuaian Lafaz Kalimah Allah


Bilakah kesesuaian lafaz kalimah-kalimah Allah yang biasa kita dengar/lafaz?
Ramai yang masih keliru hingga sering kalimah Allah ini diletakkan salah pada tempatnya. Mari kita sama-sama mengetahuinya;

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana menggunakan tulisan rumi atau tidak sertakan tulisan kalimah dalam Bahasa arab

Bismillah - Dengan Nama Allah
Sebagai adab sebelum melakukan sesuatu yang diredhaiNya.

Allahuakbar - Allah Maha Besar
Digunakan untuk meningkatkan motivasi diri.

MasyaAllah - Dengan kehendak Allah SWT.
Digunakan untuk sesuatu yang menggambarkan keterujaan akan keindahan, kecantikan dan rasa takjub. Baik juga untuk mengelak penyakit ain dalam memuji sesama manusia.

Astaghfirullahhal’azim - Aku memohon keampunan Allah
Digunakan sewaktu berhadapan dengan situasi negatif, maksiat, menguap atau tersedar kealpaan diri.

Subhanallah - Maha Suci Allah
Digunakan untuk perkara yang dianggap ajaib atau sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dari sudut pemikiran logik manusia. Atau melihat keindahan ciptaan Allah agar kita tidak lalai akan dunia.

Innalillah wa inna ilaihi raaji’uun - Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadaNya kita kembali.
Lafaz apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki atau musibah atau berita kematian.

La Ilaha Illallah - Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah
Apabila melihat sesuatu yang menggerunkan.

Alhamdulillah - Segala syukur hanyalah untuk Allah
Sebagai tanda syukur kepada Allah di atas segala nikmat, sihat dan rahmat. Biasa diamalkan selepas bangun tidur, bersin, makan dan sebagainya.

Jazakallahu Khairan - Semoga Allah membalas jasa baikmu itu dengan kebaikan
Sebagai tanda terima kasih kepada seseorang

Barakkallahu Fik - Semoga Allah memberkatimu
Ucapan tahniah yang biasa digunakan untuk pengantin baru dan pujian (untuk mengelak pujian menjadi asbab kepada penyakit ain)

A'uzubillahi Minassy Syaitanonirraajim - Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.
Ketika memohon perlindungan Allah dari gangguan jin dan syaitan.

La haula wa la Quwwata Illa Billah - Tidak upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Untuk diri sendiri berasa kekurangan dan kelemahan untuk melakukan sesuatu.

Hasbunallahu wa ni'mal wakil - Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung.
Diucapkan sebagai tanda berserah diri dan bergantung harap kepada Allah.

Nauzubillah Min Zalik - Kami memohon perlindungan Allah daripada perkara itu
Digunakan sewaktu memohon supaya dijauhkan oleh perkara yang tidak baik.

InsyaAllah - Jika diizinkan Allah
Apabila kita berniat hendak menyempurnakan hajat seseorang.


Semoga bermanfaat