Facebook Fan

Friday, 14 November 2014

Kenapa pentingnya `Golden Hour' untuk Mangsa Stroke


Golden Hour atau Tempoh Keemasan ialah tempoh yang amat berharga kepada mangsa stroke untuk dirawat. Waktu yang dimiliki oleh mangsa adalah sekitar 3 - 6 jam dari masa kejadian (stroke) untuk menerima rawatan di hospital. Manakala pencapaian tempoh pemeriksaan dan rawatan di hospital yang paling ideal ialah 1 jam dari mangsa sampai ke hospital. Ini bertujuan untuk doktor dapat mencegah perembesan darah dan mengelak kecederaan otak bertambah luas. Sebelum menentukan jenis rawatan yang harus diberikan, terlebih dahulu doktor akan mengesan dan memastikan jenis, tahap dan titik serangan stroke. Pelbagai method untuk mengesan stroke seperti penggunaan CT Scan, MRI dan seumpamanya,
CT Scan

MRI
Bagi pesakit stroke sumbatan (ischemic), mangsa diberikan ubat-ubatan Thrombolytic yang juga digunakan untuk pesakit jantung tersumbat bagi melarutkan bekuan dalam saluran darah. Bagaimanapun terapi ini hanya sesuai dalam tempoh 3 jam dari masa kejadian (stroke). Penggunaan terapi ini juga tidak sesuai untuk pesakit stroke pendarahan (hemorrhagic) kerana akan memanjangkan pendarahan  kedalam ruang intrakranial. Seterusnya boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.


Biasanya pesakit stroke pendarahan dibahagian otak (intracerebral) memerlukan pembedahan segera untuk menyedut rembesan darah. Jika berlaku di bahagian subarachnoid iaitu diruang sempit, biasanya akan diberikan ubat-ubatan tertentu. Namun kemungkinan untuk melakukan pembedahan tetap ada.














Walaupun stroke menyebabkan kematian dan kecacatan,  namun ada sekitar 30%-40% penderita sembuh secara sempurna. Asalkan ianya dapat ditangani dalam tempoh 3-6 jam. Jika melewati golden hour/period, mangsa mungkin mengalami kecacatan. Doktor juga akan mempertimbangkan kaedah-kaedah lain. Sekiranya kondisi mangsa semakin teruk, mangsa mungkin disarankan melakukan pembedahan oleh doktor. Oleh itu usah sia-siakan tempoh (golden hour)yang diberikan jika keluarga anda diserang stroke.

Untuk stroke ringan atau TIA (transcient ischemic attack) mungkin boleh pulang dari hospital selepas 1 atau 2 hari. Manakala stroke sumbatan darah (ischemic) biasanya mengambil masa 1 atau 2 minggu di hospital. Mangsa stroke pendarahan (hemorrhagic) lebih lama lagi iaitu anggaran 4 minggu atau lebih. Proses yang panjang ini disebabkan oleh tugas-tugas rehab yang memerlukan masa untuk memulihkan pergerakan. Walaupun mangsa keluar dari hospital, bukan bermakna mangsa benar-benar pulih. Perlu mendapatkan rawatan susulan yang disarankan oleh doktor pakar. Jika dari awal rawatan sudah melangkaui golden hour, segala-galanya berubah memerlukan tempoh pemulihan yang makin panjang.

Bagi sesetengah pengamal urutan, sekiranya mangsa mengalami kecacatan separuh badan hendaklah dirawat pemulihan secara kerap dalam tempoh 3 bulan dari tempoh kejadian (stroke). Jika melewati 3 bulan dari hari kejadian (stroke), tempoh pemulihan akan makin panjang dan makin sukar untuk mengerakkan anggota badan yang lumpuh (lemah). Mungkin mengambil masa 6 - 12 bulan untuk mampu berjalan (namun tidak mustahil, berlaku keajaiban mampu berjalan lebih awal).  Jadi, mangsa yang mengalami kecacatan stroke melewati bertahun-tahun hendaklah bersabar kerana mangsa memerlukan tempoh yang sangat panjang untuk meningkatkan prestasi pemulihan. 

No comments:

Post a Comment