Facebook Fan

Friday, 23 January 2015

Kenapa Perlunya "Bone Setting"

Persoalan
Adakah anda pernah melalui terapi regangan (lipat sana-sini) hingga berbunyi "pop" pada tulang? Terapi seperti ini sering berlaku jika anda mendapatkan rawatan kiropraktik dan yumeiho yang berasaskan pembetulan tulang belakang dan pinggul. Kenapa perlu sedemikian dan apa yang berlaku sebenarnya disebalik bunyi tersebut? Adakah ianya berbahaya?
Apa Itu "Bone Setting"?
Penerangan berkenaan Yumeiho sudah diterangkan dalam artikel lepas. Kiropraktik pula diambil dari perkataan Greek, Chiropraktikos yang membawa maksud "rawatan berkesan menggunakan tangan" yang melibatkan kesihatan sistem tulang dan otot kerangka serta sistem saraf. Apa saja namanya sekalipun, semua ini dalam kategori "Bone Setting" iaitu stimulasi kedudukan tulang yang memang sudah dipraktis sejak sebelum Masihi lagi. Malah sebahagian jurus urutan melayu kampung juga mengamalkan "Bone Setting", cuma disini (urutan melayu) tiada istilah khusus untuk dijenamakan.

Manfaat Kesihatan
Kerangka badan kita sememangnya melalui beberapa pergerakan untuk membuat aktiviti harian. Namun pergerakan yang extreme dan melampau boleh mengubah struktur badan. Perubahan struktur badan inilah menyebabkan berlakunya kesakitan kepada seseorang. Masalah ini boleh dirasai masa ke semasa apabila usia meningkat. Seandainya terdapat slip disc, kaedah "Bone Setting" ini mampu mengembalikan disc vertebra (yang tergelincir atau beralih) pada kedudukan asal. Selepas membetulkan susunan tulang, pesakit akan berasa lega tetapi belum tentu sembuh dari penyakit. Ini adalah kerana ketidakseimbangan tulang selama ini mungkin sudah menjejaskan bahagian anggota badan yang lain. Oleh itu pesakit hendaklah mendapatkan rawatan pemulihan seterusnya.

Kaedah rawatan ini bukan bertujuan merawat semua penyakit fizikal seperti artritis, tetapi memberi kelegaan dari rasa sakit dan lenguh dengan mengembalikan keseimbangan susunan tulang dan badan untuk mengurangkan bebanan dan tekanan pada otot serta saraf (terhimpit) di sekitarnya. Tulang yang terhakis seperti spinedolosis dan rapuh (osteoporosis) juga tidak mampu diganti dengan kaedah "bone setting". Namun otot yang menyokongnya boleh dikuatkan untuk menyokong fungsi sendi dan juga fungsi tulang yang terjejas.

Penghasilan Bunyi Pop
Pergerakan "Bone Setting" boleh menghasilkan bunyi "pop" atau "krekk" atau dipanggil "cavitation". Bunyi ini dihasilkan apabila pelepasan gas yang bebas dari cecair atau larutan sel badan (fluid) ketika melakukan pergerakan mekanikal (bone setting). Teorinya sama seperti ketika kita membuka tin minuman berkarbonat atau membuka botol champagne.

Biar saya terangkan bagaimana ianya terjadi. Sendi-sendi tulang belakang ini dipanggil sebagai synovial joints. Disinilah keluarnya cecair yang dinamakan  synovial fluid. Cecair ini tujuannya untuk melincirkan sendi untuk tujuan pergerakan. Bersama-sama dengan cecair ini, terdapat gas-gas yang terdiri daripada wap air, oksigen, nitrogen dan karbon dioksida (meliputi 80% jumlah gas). Apabila berlakunya pergerakan "bone setting", gas-gas ini akan dilepaskan dan dengan sendirinya mengeluarkan bunyi “pop”. Biasanya bunyi “pop” tidak boleh kedengaran dua kali ditempat yang sama dan memerlukan kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan bunyi semula ketika melakukan “bone setting”.

Pergerakan sendi, tendon dan ligament juga boleh menghasilkan bunyi menyentap untuk mengembalikan ke kedudukan asalnya. Oleh itu pesakit tidak perlu risau tulang retak, tidak menyakitkan dan tidak menyebabkan arthritis. Untuk pengetahuan juga,  “bone setting” tidak kena mengena dengan bunyi yang disebabkan oleh kekurangan cecair, geseran permukaan kasar atau haus pada tulang rawan (cartilage) pada sendi terutamanya pada lutut.

Biasanya terapis dan juga pesakit akan berasa kecewa jika bunyi tidak terhasil. Bagaimanapun, rawatan seumpama ini bukan bergantung kepada bunyi, tetapi bergantung kepada kepakaran dalam mengesan susunan tulang dan kemampuan lenturan badan mengikut perubahan struktur tulang. Malah tidak semua jurus "Bone Setting" mengeluarkan bunyi.

No comments:

Post a Comment