Facebook Fan

Saturday, 1 August 2015

Terapi Minda: Bagaimana Interaksi Soal Jawab boleh Melegakan Sakit Kepala

Terlebih dahulu saya harus berterus terang, teknik ini tidak disukai oleh pesakit. Dan kebanyakan pesakit agak keberatan mengikuti panduan kerana kurang keyakinan ada pada diri pesakit. Sedangkan terapi interaksi soalan dan jawapan boleh memberi kesan positif kepada rasa sakit kepala walaupun soalannya tidak berkaitan langsung atau sukar dibuktikan dengan logik akal.

Tujuan penggunaan kaedah ini adalah untuk menumpu perhatian otak kepada sakit kepala dan fokus kepada otak untuk berfikir mendapatkan jawapan. Ketika otak mula fokus mengesan jawapan, rasa sakit akan lenyap dengan sendirinya.

Cara yang digunakan ialah, terapis hendaklah menanyakan beberapa soalan yang perlu dijawab oleh pesakit. Manakala untuk pemulihan diri sendiri, pesakit boleh bertanyakan soalan pada diri sendiri dan juga jawab sendiri.

Contoh-contoh interaksi soalan dan jawapan adalah seperti berikut;

Dimana sakit kepala sekarang?
Jawapan hendaklah merujuk dimana posisi atau bahagian kepala yang sakit.

Bagaimana bentuknya?
Jawapan hendaklah merujuk dengan membayangkan corak area rasa sakit (seperti menyerupai bentuk memanjang kebelakang, membulat, seperti berbentuk segitiga. setempat, bertompok-tompok dan sebagainya). Jika tidak mendapat jawapan pasti, nyatakan gambaran bentuk yang paling hampir. Tidak perlu memikirkan terlalu lama. Yang penting bukan jawapannya (betul atau salah), tetapi daya usaha anda berfikir tentangnya. Daya usaha berfikir itulah penawar yang sebenar rasa sakit kepala.

Apakah warnanya sekarang?
Jawapan hendaklah merujuk warna spontan yang terfikir oleh minda (warna apa saja). Tidak perlu memikir terlalu lama kerana ianya berlaku spontan (warna pertama yang terfikir dalam fikiran pesakit). Jika pesakit duduk di depan dinding biru, mungkin warna itu yang terfikir dalam fikiran. Kalau berasa buntu, fikirkan dan sebutkan saja warna hitam (sebagai contoh).

Bagaimana rasanya sekarang?
Jawapan hendaklah merujuk kepada kondisi (seperti rasa berat, berdenyut, loya dan sebagainya) dan tahap sakit seseorang (semakin kurang sakit atau tidak).

Sekarang, kemana sakitnya pergi?
Jawapan hendaklah merujuk kepada perubahan kedudukan sakit (ada kalanya boleh turun ke siku, malah ke lutut) atau mungkin sebaik sahaja pertanyaan ini, sakitnya telah pergi (hilang). Jika masih sakit, terus ulang dari pertanyaan ke dua (Bagaimana bentuknya?).

Sebelum terapi ini dimulakan, pastikan anda tidak menggunakan kaca mata dan, hendaklah berada ditempat yang tenang. Lakukan beberapa kali atau sekurang-kurangnya 5 kali ulangan soalan dengan rasa relaks tanpa tergesa-gesa menyudahkannya. Walaupun begitu, sekali lagi saya jelaskan, tidak perlu memikir terlalu lama. Purata 1 minit untuk menyelesaikan semua soal-jawab ini, Jika 5 kali ulangan adalah bersamaan 5 minit sahaja.

Dalam tempoh ulangan, pesakit mungkin mulai berasa "bosan" tetapi akan merasai perubahan posisi atau tahap sakitnya. Perubahan yang dirasakan itu menyebabkan jawapan mungkin berbeza daripada jawapan sebelumnya berdasarkan mengikut perubahan kondisi sakit kepala semasa. Misalnya pada sesi pertama soal-jawab, sakit kepala berada dibahagian mata. Mungkin pada sesi seterusnya, kedudukan sakit bertukar tempat di bahagian atas kepala. Begitu juga dengan keadaan bentuk, warna dan tahap rasa sakit juga mungkin berubah.

Teknik ini juga bertindak sebagai langkah pencegahan yang berkesan terutamanya dilakukan sewaktu simptom awal (detikan amaran) migrain mula dirasai. Sesetengah orang berasa sakitnya mulai hilang dengan hanya satu kali sahaja tanpa ulangan. Jika tidak pulih sepenuhnya, biasanya kesakitan mulai berkurangan. Pesakit dinasihatkan meneruskan ulangan soalan ini beberapa kali jika ada pengurangan. Walaupun begitu, terdapat sebilangan pesakit sakit kepala kronik tidak merasai apa-apa kesan positif menggunakan teknik ini.

2 comments: