Facebook Fan

Wednesday, 9 December 2015

Kaedah ASAS Urutan Mudah untuk Beginner

Tajuk artikel ini adalah respon kepada mereka yang tidak tahu/mahir bagaimana hendak mengurut atau stimulasi titik ransangan yang saya sering paparkan di Facebook. Kaedah paling ASAS untuk urutan setempat terbahagi kepada tiga teknik mudah iaitu menekan tanpa gerakan, menekan dengan gerakan dan urutan dengan gosokan. Ketiga-tiga teknik ini sesuai untuk mereka yang berjinak jinak hendak mencuba mengurut sendiri.

PERINGATAN! Wanita hamil tidak dibenarkan sama sekali diurut tanpa pengetahuan atau kepakaran kerana terdapat bahagian tubuh dan titik urutan yang boleh membahayakan si ibu dan anak dalam kandungannya.

Teknik Menekan Tanpa Gerakan (pegun)
Contoh Urutan
Teknik menekan tanpa gerakan dilakukan dengan tempoh sekurang-kurangnya 1 minit pada setiap titik ransangan. Dimulai dengan 20 saat pertama dengan tekanan perlahan (kekuatan jari). Kemudian 20 saat berikutnya dengan tekanan lebih kuat (kekuatan pergelangan tangan atau mengikut kemampuan pesakit). Diikuti dengan 20 saat terakhir, hendaklah ditekan secara perlahan semula. Kemudian urutan diakhiri dengan mengusap atau menggosok pada permukaan titik ransangan berkenaan. Sewaktu menekan dilakukan, jari terapis pada titik berkenaan hendaklah tidak bergerak atau terangkat dari titik itu. Urutan boleh dilakukan berulang kali iaitu 7x berturut-turut. 

Sepanjang urutan hendaklah diiringi dengan senaman “ritma pernafasan” berulang-ulang. “Ritma pernafasan” disini bermaksud, pesakit menarik nafas lembut melalui hidung dan melepaskan nafas melalui mulut secara halus dan perlahan-lahan. Pesakit perlulah memberi perhatian kepada ritma pernafasan ketika urutan berlangsung. 

Teknik Menekan Dengan Gerakan
Kaedahnya sama dengan teknik menekan sahaja, cuma dibezakan dengan iringan gerakan menenyeh secara lembut. Namun sewaktu gerakan dilakukan, jari terapis pada titik berkenaan tetap tidak terangkat dari permukaan badan. 

Teknik Urutan Secara Gosokan
Hampir sama dengan teknik menekan dengan gerakan, cuma dibezakan dengan gosokan lebih meluas bukan sahaja pada titik ransangan, malah pada sekitarnya. Jari terapis akan sentiasa bergerak atau terangkat ketika mengurut. Urutan secara gosokan lebih sesuai dengan ikhtiar memulih sakit otot. Tempoh dan ulangan urutan sama seperti dengan teknik menekan.

Selamat Belajar dan Mencuba!

No comments:

Post a Comment