Facebook Fan

Sunday, 8 May 2016

Disebalik Sistem Otot & Skeletal (Tulang)

Sumber Foto: dreamscenesinc.com
Sistem Otot dan Skeletal merupakan anggota badan paling berat bagi tubuh manusia. Otot sahaja sudah menyumbang 2/5 dari berat tubuh manusia. Terapis urut biasanya akan mengurut mengikut posisi postur otot badan kerana otot merupakan anggota badan terdekat yang mudah di rasa dan stimulasi oleh terapis. Manakala sistem skeletal memberi panduan kepada terapis untuk mengesan dan menentu titik ransangan berpandukan kedudukan rangka dan struktur tulang.

Terdapat 2 jenis otot iaitu otot yang dikuasai oleh manusia iaitu otot rangka badan, dan otot organ dalaman badan seperti otot jantung, saluran darah dan sebagainya. Otot mempunyai dua pergerakan penting iaitu menegang dan berehat. Otot yang tidak mengikut arahan akan menyebabkan kesakitan. Misalnya, daripada kedudukan berdiri kepada posisi duduk sepatutnya otot betis berubah dari menegang kepada kondisi rehat. Jika otot betis tetap dalam kedudukan menegang, seseorang itu akan berasa sakit. Punca-punca otot tidak berfungsi dengan baik berkemungkinan;
  • Otot dalam keadaan letih kerana tidak biasa melakukan sesuatu aktiviti.
  • Saluran darah yang terhimpit.
  • Kekurangan air dalam badan.
  • Kekurangan glukos dan mineral seperti kalsium, magnesium, sodium dan potassium.
  • Pengumpulan asid lactic yang banyak dalam otot  disebabkan pembakaran glukos dengan kekurangan oksigen menyebabkan tenaga dihasilkan bersama asid lactic.
Sistem skeletal merupakan rangka tubuh yang terdiri daripada tulang dan tisu penghubung yang lain untuk melindungi dan menyokong tisu-tisu badan dan organ-organ dalaman. Manusia dewasa mempunyai 206 tulang termasuk 12 pasang tulang rusuk dan 33 tulang belakang yang sudah dijelaskan sebelum ini.

Penyakit tulang yang biasa dihadapi oleh manusia ialah masalah arthritis dan osteoporosis.  Artritis adalah penyakit radang pada sendi atau tisu sendi yang menunjukkan gejala kesakitan, kekerasan pada sendi dan pembengkakkan. Artritis yang paling kerap dihidapi ialah osteoartritis yang berpunca daripada kerosakan tisu rawan (cartilage) pada sendi seperti sakit lutut dikalangan ramai orang tua. Gout juga merupakan gejala artritis yang berpunca daripada pengumpulan asid urik pada sendi.

Osteoporosis pula adalah penyakit tulang yang mengalami kekurangan ketumpatan mineral tulang. Pesakit ini akan berisiko patah atau retak disebabkan tulang rapuh. Kebanyakannya dialami oleh golongan wanita selepas menopaus, apabila ia dipanggil "postmenopausal osteoporosis".

Sama ada artritis atau osteoporosis, urutan tidak menyembuhkan secara langsung. Urutan adalah alat bantu kepada faktor meransang sistem tubuh badan manusia untuk membantu penyembuhan secara semula jadi (termasuk artritis atau osteoporosis).

No comments:

Post a Comment