Facebook Fan

Thursday, 7 September 2017

Bagaimana Kita Boleh Berdakwah Kepada Pesakit

Sumber Gambar: Utusan Online - Ziarah dakwah Jawi di PPUM
1. Menyakinkan pesakit bahawa penyakitnya mempunyai hikmah disebaliknya dan bersangka baik kepada Allah jika tidak sembuh ataupun, berakhir dengan kematian. Sangka baik ini membuatkan roh (jika meninggal dunia) berasa redha dan jiwa tenang untuk kembali kepada Allah.

Sepertimana dari Jabir bin 'Abdullah Al Anshari r.a. katanya tiga hari sebelum Rasulullah saw. wafat beliau bersabda: "Janganlah kamu mati melainkan baik sangka terhadap Allah 'Azza wa Jalla. (HR. Muslim, 2451)

Selain itu, firman Allah bermaksud; “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan meredhai dan diredhai, maka masuklah dalam kalangan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurgaKu” (al Fajr: 27-30)

2. Memberikan kesuntikan semangat untuk sembuh bahawa setiap penyakit ada ubatnya dengan izin Allah kecuali sakit tua, sepertimana dalam hadis Rasulullah s.a.w:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya, apabila bertepatan antara penyakit dengan ubatnya, maka berlakulah kesembuhan dengan izin Allah” (HR Muslim dan Ahmad)

Dalam hadis yang lain dari sahabat Abu Hurairah Rasulullah s.a.w bersabda :
“Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, kecuali Allah juga menurunkan ubatnya” (HR Bukhari 1662).

Disebutkan pula dalam Musnad Imam Ahmad dan yang lainnya, dari Usamah bin Syarik r.a, beliau mengatakan : “Aku berada di samping Nabi s.a.w  kemudian datang seseorang dan berkata : “ Ya Rasulullah, apakah aku perlu berubat?” Rasulullah s.a.w bersabda : “ Ya. Wahai hamba Allah, berubatlah ! Sesungguhnya  Allah tidak memberikan penyakit, kecuali Allah juga memberikan ubatnya, kecuali untuk satu penyakit. Orang tersebut bertanya : “Ya Rasulullah, penyakit apa itu?” Rasulullah s.a.w bersabda : “ Penyakit tua”

3. Membantu menghilangkan rasa cemas dan takut ketika mendapat rawatan dengan beri kata peransang mengingatkan Allah sentiasa bersamanya sama ada melalui berzikir atau alunan ayat al-Quran.

Sebagaimana firman Allah swt; “(Iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah (zikir). Ingatlah, dengan mengingat Allah, hati menjadi tenteram.” (QS. Ar-Ra’du:28).

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman: “Aku bersama hamba-Ku selagi dia mengingat-Ku dan kedua bibirnya bergerak-gerak menyebut-Ku.”   (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

4. Mengajak pesakit bersabar menghadapi sebarang dugaan, kerana segala kesusahan atau kesenangan sebenarnya adalah ujian daripada Allah untuk menilai tahap keimanan kita atau mengingatkan agar kembali kepada Allah.

Sebagaimana firman Allah swt; “Adakah manusia menyangka mereka dibiarkan berkata kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji” (al ankabut:2)

5. Mengingatkan Allah Maha Penyembuh dan bergantunglah kepadaNya disamping dengan ikhtiar rawatan. Ini bersesuaian dengan doa Rasulullah s.a.w;

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ وَاشْفِه وأَنْتَ الشَّافِي لاَ شِفَآءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
 “ Ya Allah, Tuhan sekelian manusia, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau Zat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain”  (HR Muslim 2052).

Hadis lain yang hampir sama dari Abdul Aziz bin Shahib, beliau mengatakan : Aku dan Tsabit datang menemui Anas bin Malik , kemudian Tsabit berkata : “ Wahai Abu Hamzah, aku tersengat binatang. Anas mengatakan : “ Mahukah kamu saya bacakan ruqyah dengan ruqyah yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w ? Tsabit berkata : “Tentu”. Kemudian Anas bin Malik membaca doa :
“ Ya Allah, Tuhan sekelian manusia Yang Menghilangkan kesusahan, berilah kesembuhan, Engkaulah Zat Yang Maha Menyembuhkan.  Tidak ada yang mampu menyembuhkan kecuali Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain” (HR Bukhari 541).

6. Mendidik pesakit dengan berdoa, ayat-ayat suci dan bertawakkal untuk penyucian jiwanya agar yakin doanya diterima Allah swt. Malah membersihkan jiwa boleh menguatkan jasad. Amalkan berdoa dan zikir yang bersesuaian sepertimana dicatat dalam hadis Rasulullah s.a.w;

“Aku (Allah) ini berdasarkan sangkaan hambaKu terhadapKu, dan Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu” (Hadis Qudsi Riwayat At-Tarmizi)

Selain itu Rasulullah SAW bersabda :"Sesungguhnya Allah Taala berfirman :"Aku menurut persangkaan hambaKu dan aku beserta dia bila dia berdoa kepadaKu". (HR At-Tarmizi)

7. Memberikan ketenangan dan khabar gembira akan dosa-dosanya gugur disebalik musibah dan penyakit.

Dari Abdullah r.a., katanya: "Aku datang mengunjungi Rasulullah saw. ketika beliau sedang sakit, lalu ku usap beliau seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Demam anda bertambah keras." Jawab beliau, "Memang, demamku sama dengan demam kedua orang tua kamu." Kataku pula, "Semoga Anda mendapat pahala berganda pula." Jawab beliau, "Semoga!" Kemudian sabda beliau pula, "Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya, melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu mengugurkan daunnya." (HR. Muslim, 2202)

Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Setiap kali orang Islam mendapat malapetaka, Allah mengampuni dosanya kerana malapetaka itu, bahkan yang disebabkan oleh terkena duri." (Hadis Sahih Bukhari, 1657.)

No comments:

Post a Comment