Facebook Fan

Sunday, 22 October 2017

Perbincangan Pemahaman Perubatan Nabi (Thibbun Nabawi)

Menurut Ibn al-Qifti dalam karyanya yang bertajuk Tarikh al-Hukama (Sejarah Para Doktor dan Ahli Falsafah) mempercayai bahawa ilmu perubatan pada asalnya diwahyukan melalui Nabi Idris a.s. Ini menunjukkan amalan perubatan yang tidak menyalahi syarak boleh dianggap bersumber asal dari utusan Allah swt (Nabi & Rasul). Bagaimanapun ia bukan definisi sebenar dalam membincangkan pengertian Thibbun Nabawi yang diperkatakan sekarang.
Thibbun Nabawi (Perubatan kaedah Nabi) merujuk kepada kandungan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w mengenai penyakit, pengubatan, pencegahan dan amalan-amalan kesihatan. Tidak dipastikan bagaimana istilah ini wujud tetapi dikatakan muncul sekitar abad ke 13.

Sebagaimana kita beriman kepada kitab Allah swt, kita percaya ayat-ayat al Quran itu sendiri adalah berkait rapat dengan pengubatan sepertimana firman Allah swt;
"Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (al Isra`: 82)

Dengan sebab itu, amalan bacaan ayat-ayat al-Quran tertentu sudah menjadi kebiasaan diamalkan oleh pengamal perubatan Islam atau Ruqyah Syariah.

Di dalam al-Quran juga menceritakan amalan dan kelebihan metod-metod pengubatan yang wajib diyakini, kerana bersumberkan dari wahyu kepada Nabi s.a.w, di antaranya ialah seperti dibawah;

Madu
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
(Al-Nahl 16:69)

Minyak Zaitun
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(An-Nuur 24:35)

Susu Ibu
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
(Al-Baqarah 2:233) 

Jahe/Zanjabil
Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari "Zanjabil",
(Al-Insaan 76:17)


Dan banyak lagi yang diceritakan dalam al-Quran. Walaupun pemakanan ini sudah menjadi tradisi orang-orang Arab Jahilliyah, namun penekanannya dalam al-Quran yang bersumberkan wahyu Allah, ia perlu diamalkan kepada seluruh penduduk di muka bumi Allah ini.

Ia berbeza dengan penceritaan amalan pengubatan dalam hadis, yang datangnya dari amalan tradisi sekeliling orang Arab (pendapat Ibn Khaldun), tetapi mungkin bukan datangnya dari wahyu Allah swt seperti berbekam. Sebagaimana baginda pernah bersabda “Kamu mengetahui lebih banyak hal tentang perkara duniawi” (al Muqaddimah, Ibnu Khaldun)

Menurut Ibn Qayyim, dalam kitabnya al-Tibb, isteri Rasulullah saw. Saidatina Aisyah ditanyai bagaimana Rasulullah saw mengetahui banyak ilmu perubatan. Saidatina Aisyah menjawab, Rasulullah saw mendapat pengalaman daripada rawatan yang selalu diterima untuknya.

Sama ada bersumberkan wahyu Allah swt atau tidak, apa yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis akan dianggap sebagai Thibbun Nabawi. Tidak terhad pada amalan pemakanan sahaja tetapi termasuk amalan ibadah (solat, puasa dsb) dan harian (cara minum, tidur dsb) yang Nabi saw alami/ketahui yang bersangkut paut dengan kesihatan.

Thibbun Nabawi pula berbeza dengan perubatan patuh syariah. Perubatan patuh syariah boleh dirujuk kepada apa saja bentuk perubatan moden atau tradisional atau alternatif lainnnya yang pernah atau tidak pernah dialami/diketahui oleh Nabi saw, asalkan tidak menyanggahi hukum Islam. Misalnya penggunaan arak dalam pengubatan, walaupun apa jua alasan arak adalah tidak termasuk perubatan patuh syariah.

# Jika ada perbezaan pendapat dengan konsep "Thibbun Nabawi" dan "Nabi adalah Doktor" sebenarnya adalah perkara biasa yang sering dibincangkan. 

No comments:

Post a Comment