Facebook Fan

Wednesday, 13 December 2017

AMALAN KESUFIAN DALAM TAWAKKAL

Gerakan sufi (sufisme) dalam Islam dipercayai terbentuk pada kurun ke 2 Hijrah yang mempunyai semangat kepekaan dalam kerohanian. Golongan sufi menganggap bahawa Islam pada hakikatnya menyentuh persoalan kehidupan kerohanian manusia beserta dengan penyerahan jiwa. Pada tahap awal, sufisme digambarkan sebagai kewarakan zuhud yang menekankan kesucian hati dan keikhlasan amalan. Melalui zikir, ahli sufi menanam semangat cintakan Allah dengan mencari penyatuan roh diri dan zat Ilahi hingga membawa kepada keadaan khayal (sukr). Penyatuan ini dianggap menyalahi akidah Islam oleh para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Misalnya, pada tahun 922H, salah seorang ahli sufi terulung, al-Hallaj (Abu Abdullah Husain bin Mansur al-Hallaj) telah dibunuh kerana dituduh menyatakan ketuhanannya sendiri. Golongan sufi sezamannya juga terkejut dengan kenyataannya, kerana ahli sufi sepatutnya tidak membuka rahsia pengalaman kebatinan kepada orang lain. 

Kemudian golongan sufi seterusnya mengubah kepelbagaian cara agar pengalaman sukr boleh diterima oleh masyarakat Islam umumnya. Diantaranya ialah pencipta teragung sufisme teosofi, Ibn `Arabi (meninggal dunia 1240M di Aleppo) dari Andalus. Di antara karya agungnya ialah Futuhat al-Makkiyah. Dari kurun ke 12 Masihi hingga seterusnya, sufisme mulai berkembang dalam fenomena bertareqat yang menitikberatkan aspek kerohanian dan juga masalah-masalah keduniaan. Masyarakat Islam umumnya mulai menerima amalan kesufian sejak kurun ke 13 atau 14 Masihi, yang berpunca dari hasil sumbangan besar oleh mereka (guru sufi) yang menguasai ilmu fiqh dan ilmu kalam seperti Abu Hamid al-Ghazali (Imam al-Ghazali meninggal dunia 1111 Masihi) dengan karya agungnya Ihya `Ulumuddin.
Imam al-Ghazali
Imam al-Ghazali pernah menderita sakit dan tidak dapat menelan makanan dengan baik. Beliau mencatat pengalamannya dalam bukunya al-Munqidh Min ađ-Đalāl, dimana para doktor yang merawatinya telah berputus asa dengan menyatakan “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”. Beliau akhirnya berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Imam Ghazali berkata "Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya."

Dalam kurun ke 18 Masihi, satu gerakan tindak balas bermula terhadap golongan sufi terutamanya di Semenanjung Tanah Arab. Mereka mahukan umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw dan tidak merosakkan keaslian beragama. Antara gerakan yang popular ialah yang dikenali sebagai gerakan salaf yang dipelopori oleh Muhammad bin Abdul Wahab (lahir di Najed 1703 M). Pertentangan pendapat antara dua pihak berterusan sehingga sekarang.

Bagaimanapun dalam bidang perubatan, elemen kesufian banyak terkandung dalam amalan perubatan. Antara doktrin yang penting ialah amalan berserah diri kepada Allah swt yang dikenali sebagai tawakkal (meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah swt). Amalan bertawakkal sebenarnya diterima oleh semua kelompok masyarakat Islam sepertimana firman Allah swt;
“Apabila kamu telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah” Ali Imran: 159

Oleh sebab itu, sebaik sahaja berniat untuk merawat seseorang, maka seseorang itu hendaklah bertawakkallah sebelum merawat. seseorang perawat perlu mengambil kira “alam asbab” juga yakni ikhitar (punca) kepada penyembuhan, disamping berdoa dan bertawakkal. 

No comments:

Post a Comment