Facebook Fan

Thursday, 28 December 2017

Perbincangan Fiqh Berkenaan Pemindahan Organ


Pembedahan pemindahan organ boleh berlaku di antara binatang kepada manusia dan di antara manusia kepada manusia. Mungkin juga melibatkan pemindahan organ pada orang yang sama. Pemindahan organ terbahagi kepada;

i. Autograft – pemindahan organ dari suatu tempat ke tempat yang lain pada orang yang sama.
ii. Isograft – pemindahan organ daripada seseorang kepada kembarnya.
iii. Allograft – pemindahan organ antara individu yang berlainan
iv. Xenograft – pemindahan organ antara spesis yang berlainan seperti binatang kepada manusia.

Bagaimanapun menderma organ dengan sukarela adalah satu amalan mulia dan hukumnya adalah harus dengan syarat;
i. Tanpa sebarang paksaan bagi penderma dan juga penerima.
ii. Tidak memudaratkan bagi penderma dan juga penerima.
iii. Kaedah pilihan akhir bagi penerima untuk tujuan pemulihan (darurat).
iv. Jika organ dari binatang adalah najis, maka ia tidak diharuskan kecuali darurat.
v.  Diyakini berjaya secara kebiasaannya.
vi. Dilaksanakan oleh doktor yang diyakini seorang pakar.

Pendapat mengharuskan ini dinyatakan oleh al-Shaikh al-Qaradawi, al-Shaikh Jad al-Haq Ali Jad, al-Shaikh Muhammad Sayyid al-Tantawi, al-Shaikh Ahmad Umar Hashim, al-Shaikh Abdullah al-Mashd, al-Shaikh Atiyyah Saqr dan lain-lain di samping Muktamar Islam Antarabangsa di Malaysia (1969), Muktamar Antarabangsa Pakar-Pakar Perundingan Islam (1986, 1988 dan 1990), Majlis Tertinggi Islam Algeria (1972), Majlis Tertinggi Fatwa Jordan (1977), Pertubuhan Ulama Besar Arab Saudi (1978 dan 1980), Kementerian Waqaf Kuwait (1980), Akademi Fiqh Rabitah al-Alam al-Islami (1985) dan lain-lain lagi.

Menurut jumhur ulamak, pemindahan organ melibatkan urusan jual beli, hukumnya haram kerana mendatangkan kemudaratan lebih besar seperti potensi wujudnya pemburu organ yang melibatkan pembunuhan dan juga menjual organ akibat kemiskinan.

Bagi penderma yang sudah mati, warisnya hendaklah bersetuju mendermakannya. Ataupun sewaktu hidupnya, simati sudah memberi wasiat keizinan untuk menderma organ. Para fuqaha’ juga telah membenarkan membelah perut orang mati untuk mengeluarkan harta milik orang lain (seperti batu permata atau barang kemas). Selain itu, para fuqaha’ juga bersepakat mengharuskan membelah perut mayat sekiranya hamil melebihi enam bulan, dengan syarat diyakini ada bayi masih hidup di dalam perut si ibu yang mati.

No comments:

Post a Comment