Facebook Fan

Sunday, 3 December 2017

SEJARAH AHLI PERUBATAN SEWAKTU PEMERINTAHAN ISLAM DI INDIA



  1. Ahli perubatan Islam sewaktu zaman Abbasiyyah iaitu al-Biruni pernah datang ke India bersama sekumpulan askar yang diketuai oleh Mahmud Ghaznawi pada akhir abad ke 10. Ilmu perubatan ketika itu masih tidak begitu mantap di India. 
  2. Bagaimanapun sejak Baghdad dan Iran diserang oleh tentera Mongol, ramai ahli perubatan Islam berhijrah ke India. Maka berkembanglah dunia perubatan Islam sedikit demi sedikit di negara India. 
  3. Zaman pemerintahan `Ala al-Din Khilji (meninggal 1321M), pengajaran ilmu perubatan dalam bahasa arab sudah diamalkan.
  4. Raja India beragama Islam seperti Muhammad ibn Tughlaq (meninggal dunia 1352M) dan penggantinya Firuz Shah Tughlaq (meninggal dunia 1388M) adalah seorang doktor.
  5. Firuz Shah membina banyak hospital. Amalan sewaktu itu, pesakit mendoakan untuk raja. Mungkin diatas jasa baiknya menyediakan rawatan, ubatan dan makanan percuma. Adakalanya raja datang melawat dan merawat pesakit. Beliau berminat dengan bidang oftalmologi dan pernah menyediakan kolirium daripada kulit ular hitam yang dikenali "kolirium Firuzshahi" yang masih diamalkan sehingga kini. Salah satu karyanya ialah Firuzshasi Medicine.
  6. Sesuatu kelainan di hospital dalam sejarah India ialah, ramai bukan Islam tidak mahu dirinya dirawat oleh pakar perubatan Islam. Oleh itu wujudnya tabib Islam dan ved Hindu dilantik untuk bekerjasama dan berkhidmat di hospital. Jadi tidak hairanlah, di India wujudnya gabungan perubatan Islam tradisional dan Ayurveda.
  7. Sewaktu pemerintahan Farrukh Siyar, seorang pakar perubatan Hakim muhammad Akbar Arzani berasal Iran menulis sebuah kamus perubatan iaitu Hudud al-Amrad (Definisi Penyakit) dan naskhah perubatan lain seperti Mizan al-Tibb (Skala Perubatan) dan Tibb Akbar (Ilmu Perubatan Agung). (Sumber dari Wasiti, Tibb hlm 311)
  8. Seorang pakar perubatan Sharif Khan (sewaktu pemerintahan Muhammad Shah) telah menerbitkan banyak sintesis sistem perubatan Ayurveda dengan Yunani. Ia telah menulis ulasan berkenaan karya Ibn Al-Nafis (The Canon) dan Sharh al-Asbab (sebab-sebab penyakit yang berbeza). Beliau telah menulis tentang ubat-ubatan seperti Ta'lifi Sharifi dan pemulihan penyakit (Ilaj al-Amrad).
  9. Seorang berbangsa Perancis, Bernier berada di India sewaktu zaman Shah Jehan dan Auranzeb. Beliau menulis tentang perubatan yang diamalkan dalam masyarakat di India. Menurut Bernier bahawa masyarakat di India tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan dengan anatomi walaupun anatomi binatang ketika itu (Sumber Chandpuri, dalam bukunya Atibba' hlm 61). 
  10. Kisah matinya pemerintah moghul, Akhbar. Dibawah ini adalah autobiografi anaknya iaitu, penggantinya Jehangir; " (Diringkaskan).....Kesihatan Maharaja Akhbar merosot kerana sudah tua dan tidak mampu menghadam makanan lagi. Beliau hanya makan tertentu sahaja seperti buah-buahan. Tetapi setiapkali tetamu datang, beliau turut makan apa saja dihidangkan untuk menjaga hati tetamu. Akhbar semakin lemah apabila memarahi Amin al-Daula yang asyik berjudi dan menyebabkan beliau cirit birit berdarah. Akhbar juga memarahi doktor yang merawatnya iaitu Ali Jilani kerana beliau tidak sembuh. Ali Jilani menerangkan cara pemakanan Akhbar yang tidak membantu kesihatannya. Ali Jilani tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Akhbar memarahi Ali Jilani lalu hendak menghayun tali pinggang ke arah Ali Jilani. Cepat-cepat Ali Jilani mengeluarkan sejenis ubat dari poketnya. Ali Jilani memasukkan ubat itu ke dalam segelas air dan air itu terus membeku. Bagaimanapun Ali Jilani menerangkan belum tentu serasi dengan Akhbar. Lalu Akhbar menegaskan apa yang sepatutnya berlaku, pasti akan berlaku. Lalu Akhbar mengambil ubat tersebut. Malangnya menjadi sembelit dan sakit teramat sangat dalam perutnya. Akhirnya Akhbar meninggal dunia. Ali Jilani melarikan diri ketakutan dan mendapatkan perlindungan dari Syeikh Fard (gabenor Lahore). Ali Jilani takut ada asasnya kerana tidak mengikut nasihat doktor-doktor lain. Seorang doktor bernama Muzaffar pernah melarang Ali Jilani memberikan tembikai pada Akhbar pada peringkat awal rawatan." Jehangir iaitu pewaris raja Moghul tidak berdendam kepada Ali Jilani dan menganggapnya suratan takdir.
  11. Jehangir juga pernah menderita teruk tidak dapat disembuhkan oleh mana-mana doktor. Kemudiannya dengan rasa kecewa, dia membersihkan kubur Wali Muin al-Din Chisti di Ajmer. Dan selepas itu dia sembuh. Sejak itu beliau memakai subang tercatat nama wali itu sebagai akuan menjadi pengikutnya. (Sumber dari Chandpuri, Atibba' hlm 129.
  12. Terdapat 2 nama wanita dari benua India yang pernah disebut dalam dunia perubatan zaman Moghul, iaitu wanita dari Iran, Satiy al-Nisa. Beliau adalah orang yang dihormati di Istana dan menjadi penyimpan mohor Mumtaz Mahal (isteri Maharaja Shah Jehan). Selain beliau, Nur Jehan isteri kesayangan Maharaja Moghul Jehangir dimana beliau pernah menulis bahawa isterinya lebih berpengalaman dalam perubatan.
  13. Selepas pemerintahan Moghul (1857M): Terdapat seorang pengarang buku Ashraf Ali Thanavi (meninggal dunia 1943M) telah menghasilkan buku yang terkenal bertajuk Bihisti Zewar (Permata Syurga) yang mengandungi nasihat agama dan penjagaan umum kepada wanita. Edisi pertama diterbitkan pada 1880an. Setiap edisi akan bertambah isinya sehingga pada tahun 1942M dan menjadi sebanyak 44 jilid. Buku ini sudah biasa dijadikan sebahagian daripada hantaran perkahwinan.

No comments:

Post a Comment