Facebook Fan

Monday, 15 January 2018

Anak Sebagai Amanah & Rahmat

Sumber gambar diambil dari eventbrite.com
Bayi yang dilahirkan hingga dua tahun pertama, mereka belum menyedari dan memahami konsep bahaya penyakit dan kesakitan. Di sinilah ibu bapa berperanan menjaga keselamatan, mengutamakan kesejahteraan dan perkembangan anak-anak sebagai amanah dipikulnya, supaya dapat meletakkan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Daripada Abdullah bin Umar, Nabi saw mengingatkan;

“Cukuplah seseorang itu berdosa bahawa dia telah mensia-siakan tanggungjawab terhadap keluarganya” (Riwayat Abu Daud)

Nabi saw juga mengingatkan agar tidak melebihkan anak kecil lelaki berbanding anak perempuan tanpa alasan yang dibenarkan. Menjaga dan mendidik anak-anak perempuan dengan penuh amanah bertanggungjawab akan dikurniakan rezeki yang telah ditentukan Allah di dunia ini dan dipermudahkan masuk ke syurga. Seiring dengan sabdanya;

Dari Abu Said. Baginda bersabda “Sebaik-baik orang di antara kamu ialah orang yang mendapat anak perempuan yang pertama kalinya” (Riwayat Abu Daud)

Daripada Aisyah r,a. Baginda bersabda yang maksudnya “Sesiapa yang menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmidzi)

Beruntung mereka yang mempunyai anak perempuan, sekiranya menjaga dan mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana Allah swt menjanjikan balasan yang lebih besar.

Beberapa amalan yang disarankan dalam soal penjagaan dan pemeliharaan anak iaitu;
  1. Memilih calon ibu yang beragama untuk pembentukan peribadi anak.
  2. Penjagaan terhadap isteri yang hamil dari segi kesihatan fizikal, mental dan emosi.
  3. Mengumandangkan azan pada telinga kanan pada anak yang baru lahir dan qamat pada telinga sebelah kiri.
  4. Pemilihan nama anak yang sesuai dan tidak membebankan dari segi maksud dan penggunaannya.
  5. Mengunyah makanan (tahnik) yang diletakkan pada lelangit bayinya dengan suatu makanan yang manis.
  6. Mengaqiqahkan anak yang baru dilahirkan pada hari ke tujuh. Rambutnya dipotong dan kemudian rambutnya ditimbang. Kemudian bersedekah perak sesuai dengan berat timbangan rambutnya itu.
  7. Ibu menyusui anaknya untuk menjaga kesihatan si ibu dan anak.
  8. Ibu susuan hendaklah mempunyai latar belakang kesihatan dan peribadi yang baik.
  9. Mengkhitankan anak.
  10. Penjagaan makanan dan kebersihan diutamakan.
  11. Menghadkan pengurusan anak diserahkan kepada pembantu atau pihak sekolah atau pusat jagaan anak.
  12. Ibu dan bapa bertanggungjawab mengenai soal pendidikan anak-anak dalam urusan akhirat dan duniawi.
  13. Membantu dalam memilih rakan yang baik untuk anak supaya akhlak terpelihara dalam pelbagai bentuk budaya persekitarannya.
  14. Berkomunikasi dan bergaul dengan anak untuk mengelak anak hilang pertimbangan dalam soal kehidupan berkeluarga.

No comments:

Post a Comment