Facebook Fan

Friday, 5 January 2018

Fatwa-fatwa Kebangsaan Berkenaan Ubat-Ubatan.

Penggunaan ubatan-ubatan moden seperti vaksin, insulin dan sebagainya telah mendapat perhatian dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, dimana jawatankuasa membuat keputusan dari sudut hukum berkaitan penggunaannya iaitu; 
  • 10 Oktober 1983-Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-6 telah membuat keputusan bahawa suntikan Highly Purified Insulin daripada sumber khinzir untuk pesakit kencing manis adalah harus kerana darurat. Kemudian keputusan tersebut dibatalkan kemudiannya kerana dunia perubatan sudah membuat penemuan terbaru menghasilkan insulin sintetik dari gabungan DNA insulin manusia dan bakteria E. Coli sebagai vektor, tanpa melibatkan sebarang unsur dari khinzir.
  • 24 & 25 September 1984- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-8 membuat keputusan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang adalah harus kerana darurat. Sekiranya ada bahan halal lain, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidak lagi diharuskan. Bagaimanapun, sekarang ini sudah banyak gelatin yang bukan dihasilkan dari khinzir.
  • 12 September 1988-Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-21 telah membuat keputusan bahawa vaksin rubella pada masa ini tidak najis dan hukumnya harus. Suntikan vaksin rubella dilaksanakan kepada pelajar perempuan berusia 15 tahun hingga ke wanita berumur 44 tahun untuk mengelak kelahiran bayi yang dijangkiti Rubella. Rubella boleh menyebabkan bayi terencat akal, cacat mata, masalah jantung, hati, limpa dan sistem pendengaran. Vaksin yang digunakan oleh kerajaan Malaysia ialah diimport dari Itali yang tidak mengandungi unsur haiwan, tetapi diperbuat daripada tisu janin wanita yang mengalami keguguran.
  • 24 November 1988- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-22 telah membuat keputusan bahawa vaksin imunisasi Hepatitis B tidak najis dan harus digunakan. Terdapat 2 jenis vaksin iaitu dihasilkan dari plasma darah dan ragi. Virus ini boleh menyerang semua lapisan umur dan biasanya suntikan imunisasi ini diberi kepada bayi yang baru lahir, pekerja kesihatan dan penagih-penagih dadah.
  • 5-6 Jun 1989-Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 telah membuat keputusan bahawa hukum aplikasi vaksin campak, tibi, diphtheria, Tetamus, Batuk Kokol dan Polio adalah harus.
  • 27 November 2002-Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-53 telah membuat keputusan bahawa hukum pelalian vaksin Meningococcal Meningnitis Mencevax dari sumber lembu adalah harus digunakan untuk jemaah haji. Manakala vaksin Meningococcal Meningnitis Monumune yang mengandungi unsur khinzir adalah haram. Vaksin ini bertujuan mencegah penyakit berjangkit berpunca daripada bakteria Neisseria Meningitides yang menyebabkan radang di bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah antara 2 hingga 10 hari. Bakal jemaah haji dan umrah diwajibkan pengambilan pelalian vaksin ini seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi sejak tahun 1988 lagi.
  • 31 Mac 2008- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-81 memutuskan Vaksin Biothrax dan Rotateq adalah tidak dibenarkan kerana situasi kini dianggap tidak darurat. Vaksin ini digunakan untuk membantu melindungi dari serangan Anthrax yang boleh berlaku melalui sentuhan dan pernafasan. Serangan Anthrax akan menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar dari rongga-rongga tubuh.
  • 23-25 Jun 2009- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-87 memutuskan ubat Clexane dan Fraxiparine diharamkan dalam Islam kerana wujudnya enzim khinzir. Ianya tidak dianggap darurat kerana adanya ubat lain iaitu Arixtra yang dihasilkan dari sumber halal mempunyai fungsi dan keberkesanan yang serupa. Ubat ini digunakan untuk mengelak pembekuan darah, masalah jantung dan kes-kes kronik tertentu.
  • 15-17 November 2010- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-92 membuat keputusan bahawa Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang sudah dipastikan tiada unsur yang meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudaratan adalah harus untuk mencegah penyakit kanser pangkal rahim (serviks) di kalangan wanita. Virus ini biasanya berjangkit melalui aktiviti hubungan kelamin, dan berkongsi pakaian dalam.
  • 14-16 Julai 2011- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah membincangkan isu penggunaan alkohol dalam ubat-ubatan, makanan dan minyak wangi. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah bersetuju bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang bersumberkan dari arak adalah haram walaupun dalam peratusan yang rendah. Alkohol dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak atau berlaku secara semulajadi yang terkandung dalam buah-buahan, kekacang dan bijirin adalah harus dimakan atau diminum selagi tidak memudaratkan. Bagaimanapun kadar alkohol (yang bukan melalui proses pembuatan arak) digunakan untuk pewarna atau perisa dalam produk akhir hendaklah tidak melebihi 0.5%.
Segala keputusan fatwa diatas, umat Islam di Malaysia hendaklah merujuk kepada pautan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan status terbaru dan juga fatwa-fatwa lain yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment