Facebook Fan

Wednesday, 17 January 2018

Kelebihan Bersiwak Untuk Kesihatan Gigi


Siwak adalah ranting kayu pokok arak yang mengandungi vanisilin untuk membunuh kuman dan bakteria di dalam mulut. Selain dapat membunuh kuman, penggunaan siwak bertujuan memutihkan gigi, mengharumkan bau mulut, menguatkan gigi dan gusi, membersihkan tenggorok dan pembengkakan gusi. Sebab itu, Islam memberi perhatian yang serius terhadap kebersihan mulut dan gigi secara khusus. Menurut hadis Nabi saw;
Daripada Abu Hurairah, Maksudnya; “Seandainya tidak memberatkan kepada umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka supaya bersiwak pada setiap menjelang solat” (Riwayat Bukhari)

Dari sinilah jelas hikmah galakan bersiwak membawa kepada keredhaan Allah, terutamanya untuk beribadah sebagaimana Jibrail kerap mengingatkan Nabi saw;
“Bersiwaklah kamu, sebab siwak dapat membersihkan mulut dan membawa kepada keredhaan Allah. Setiap kali Jibrail datang kepadaku, maka dia selalu mewasiatkan kepadaku supaya bersiwak sehingga aku merasa khuatir hal itu akan diwajibkan ke atasku dan juga ke atas umatku” (Riwayat Ibnu Majah)

Bersiwak bukan setakat untuk bersolat, boleh juga dianjurkan untuk berzikir dan aktiviti-aktiviti lain. Syuraih bertanya kepada Aisyah: "Khabarilah aku, apa yang mula-mula dilakukan oleh Nabi SAW. bila berkunjung kepadamu?" Aisyah menjawab: "Adalah beliau bila berkunjung, beliau melakukan siwak". (Riwayat Ibnu Majah)

Terdapat juga hadis yang menggambarkan kelebihan berganda dalam beribadah dengan mengamalkan bersiwak. Sebagaimana sabda Nabi saw;
“Dua rakaat dilaksanakan dengan memakai siwak lebih baik dari 70 rakaat tanpa siwak. (Riwayat Imam Abu Nairn dan Ad Daruqutni)

Walaupun bersiwak sangat dianjurkan dalam Islam untuk membersihkan mulut dan mendatangkan keredhaan Allah swt, namun hadis-hadis yang berkaitan dengan pahala atau amalan berganda sebagai lemah oleh Imam al-Baihaqi, Imam an-Nawawi, Imam Ibnu Hibban, Imam Ibnu Hajar dan lain-lain lagi. Selain itu, kelebihan-kelebihan lain yang dinyatakan dalam kitab-kitab lama boleh dianggap sebagai petua. Misalnya untuk menambah kecerdasan, menenangkan fikiran, mempertajamkan penglihatan, memperlambatkan uban pada rambut, menguatkan penghadaman dan menegakkan tulang punggung serta meluruskannya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment