Facebook Fan

Tuesday, 16 January 2018

Pembentukan Generasi Sihat Melalui Perkahwinan

Para ulamak terdahulu mengatakan, penyelesaian terbaik untuk menangani segala bentuk masalah hari esok hanya boleh wujud dengan membentuk dan membina kanak-kanak yang ada pada hari ini.  Allah swt berfirman;

Harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup dunia. (Surah al-Kahfi:46)

Sebelum memperincikan pembentukan kanak-kanak dalam konteks penjagaan kesihatan, ada baiknya fokus ditumpukan kepada kanak-kanak sebelum dilahirkan atau sebelum perkahwinan. Sebab Rasulullah saw telah bersabda

Daripada Abu Hurairah, “Wanita yang dinikahi itu kerana terdapat empat sebab, kerana hartanya, kecantikannya, kedudukannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan mendapat keberuntungan” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)

Namun bukanlah satu larangan memilih isteri yang cantik dan banyak hartanya, tetapi perlu ada sebab dari sudut keindahan nilai-nilai akhlak dan agama bakal isteri. Jika mahukan isteri kerana kekayaan bermakna beliau berani mempertaruhkan hidup keluarganya dengan malapetaka. Sebagaimana sabda Nabi saw;

Daripada Anas yang bermaksud “Sesiapa yang berkahwin dengan seorang perempuan kerana melihat kepada kedudukannya, maka Allah pasti akan menambah kehinaan kepadanya. Sesiapa yang mengahwininya kerana memandang harta kekayaannya, maka Allah pasti akan menambah kemiskinan kepadanya. Sesiapa yang mengahwini seorang perempuan kerana wibawanya, maka pasti Allah akan menambahkan kerendahan kepadanya. Sesiapa yang mengahwini seorang perempuan hanya dengan tujuan untuk menjaga pandangan matanya, menjaga kemaluannya, atau untuk menyambung silaturahim, maka Allah akan memberi keberkatan kepada kedua belah pihak (suami isteri). (Riwayat Tabrani dalam kitab Al-Awsat)

Hadis ini diimbangi pula dengan saranan mencari calon suami yang beragama dan berakhlak mulia. Sebagaimana Nabi saw bersabda;

“Apabila datang melamar seorang lelaki yang kamu senangi tentang agamanya dan akhlak budi pekertinya, maka nikahlah dia. Sebab jika kamu tidak melakukan yang demikian itu, maka pasti akan berlaku satu fitnah di muka bumi dan kerosakan yang dahsyat.” (Riwayat Tarmizi)

Sebarang kerosakan, kegusaran dan musibah yang disebutkan tidak terhad kepada masalah sosial sahaja, tetapi juga perihal kesihatan dan kesejahteraan hidup. Inilah panduan supaya keluarga terus dihiasi dengan kebahagian dan ketenangan yang membawa kepada kesihatan yang sempurna sesuai dengan harapan. 

No comments:

Post a Comment