Facebook Fan

Saturday, 17 February 2018

Benarkah Teori Pemakanan Diet Alkali Penting Dalam Tubuh Manusia?

Menurut pendokong diet asid alkali, pelbagai penyakit zaman moden dipercayai berpunca daripada amalan pengambilan makanan yang membentuk asid iaitu terlalu menumpukan pengambilan bijirin, daging dan ayam (membentuk asid) sedangkan pada masa sama kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang bersifat alkali. Jadi, golongan pendukung diet beralkali percaya bahawa amalan diet beralkali bukan sahaja mampu memulihara kesihatan secara keseluruhan malah ia mampu membantu mencegah penyakit zaman moden. Pendukung diet asid-alkali mengesyorkan bacaan ideal air kencing waktu pagi adalah antara 6.4 – 6.8 dan air liur (diuji selepas bangun tidur) antara 6.8 – 7.2 sebagai julat sihat.

Bagaimanapun tidak semua sistem atau organ memerlukan dalam keadaan beralkali. Sebahagiannya berasid manakala yang lain pula beralkali. Air liur atau Saliva adalah cairan yang bersifat alkali. Air liur berfungsi membasahi mulut, membersihkan lidah dan memudahkan orang berbicara. Air liur juga membasahi makanan agar mudah untuk di telan dan dicerna. Sifat alkalinya dapat membantu mengimbangi kadar asid dalam pemakanan.  Selain makanan, stress emosi dan pergerakan fizikal secara berlebihan juga membantu asid dalam tubuh. Asid perut misalnya terdiri daripada asid hidroklorik dengan nilai pH antara 2-3.5 (amat berasid). Nilai pH yang rendah ini diperlukan bagi mengurai makanan misalnya protein kepada sebatian-sebatian yang lebih ringkas berbanding protein. Sebaliknya, darah manusia sentiasa berada dalam keadaan agak beralkali iaitu antara 7.35-7.45. Makanan tidak boleh mengubah nilai pH darah. Walau bagaimana pun, makanan boleh mengubah nilai pH air kencing. Perkumuhan melalui air kencing merupakan cara utama bagaimana tubuh mengawal pH darah iaitu dengan membuang asid bersama air kencing. Selepas beberapa jam makan juadah mengandungi asid tinggi, seseorang itu akan mendapati air kencingnya menjadi berasid kerana tubuh membuang asid berlebihan dari tubuh. Berdasarkan keadaan tersebut, maka dapat disimpulkan bahawa pH air kencing adalah petunjuk paling lemah terhadap pH seluruh tubuh dan tahap kesihatan secara umum.

Kelemahan ketara teori pendokong diet asid alkali ialah meremehkan atau mengetepikan fungsi buah pinggang sebagai organ utama dalam membuang asid-asid dan mengawal pH tubuh. Buah pinggang berperanan antara lain membina ion-ion bikarbonat yang meneutralkan asid dalam darah – proses mampan yang membantu tubuh mengawal pH darah secara jitu. Selain buah pinggang, sistem pernafasan juga terlibat mengawal pH darah. Apabila ion-ion bikarbonat daripada buah pinggang bergabung dengan asid-asid dalam darah, ia membentuk karbon dioksida yang dihembus keluar dari paru-paru dan air yang keluar dari tubuh bersama air kencing.

Diubahsuai Dari Sumber Asal. Jika Bertentangan Maksud, Sila Rujuk Sumber Asal:
Diet Beralkali: Pencerahan Terhadap Kekeliruan
Bahrain Samah, Md (Am ) Rh (Ah G)
Sinar Online 24 April 2016

No comments:

Post a Comment