Facebook Fan

Saturday, 23 June 2018

Seni Kehalusan Orang Melayu Mewarnai Kehidupan

Sumber gambar diambil dari Utusan Online

Adat melayu memang terkenal dengan seni kehalusan budaya terutamanya bahasanya dan budi pekerti dalam kehidupan seharian. Misalnya banyak perkara tentang kehidupan, mereka memohon keizinan kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat, walaupun dengan hanya memetik daun-daun untuk dimakan. Perbuatan tersebut boleh terperangkap dengan perilaku khurafat, namun alam tradisi melayu menganggap semua di sekeliling alam ini adalah benda hidup yang bernyawa, mempunyai `perasaan’ ataupun mungkin sudah ada `pemiliknya’ yang tidak dapat dilihat. 

Oleh itu, pendakwah-pendakwah Arab sewaktu awal kedatangan Islam di nusantara mengalami kesukaran untuk menyesuaikan “kehalusan” kehidupan masyarakat Melayu dengan keindahan Islam. Islam telahpun lengkap dengan panduan hidup, namun latar belakang bangsa-bangsa pendakwah yang terdiri daripada suku Arab dan India sukar menandingi seni kehalusan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Oleh sebab itu, masyarakat Melayu yang menerima Islam akan kekal membawa bersama seni kehalusan adat budaya mereka yang tiada tandingannya dan perlu mereka pertahankan.

Seni kehalusan juga terdapat dalam tatacara pengubatan Melayu. Daripada karya-karya perubatan yang dihasilkan oleh ilmuwan terdahulu, mereka menggunakan bahasa yang sangat halus hinggakan pembacanya perlu menikmati setiap bait-bait penulisan dengan penuh ketenangan dan perlukan tumpuan. Selain itu kehalusan bicara dalam pengubatan, terkandung juga kehalusan memilih herba, kehalusan menentukan aturan ubat-ubatan dan kehalusan kata-kata jampi terserlah dalam penulisan mereka. Begitu juga dengan adab berguru, mereka tidak sesekali membantah cakap-cakap guru untuk mendapatkan keberkatan dalam menuntut ilmu, walaupun ajarannya tidak nampak logiknya pada akal manusia. Mereka yakin guru seorang yang berpandangan jauh dan mengajar nampak kebenarannya melalui ilmu. Inilah khazanah warisan nusantara atau alam Melayu yang penuh seni kehalusan yang sukar ditandingi oleh mana-mana cabang ilmu perubatan selainnya.

No comments:

Post a Comment