Facebook Fan

Tuesday, 3 July 2018

Tabiat Anak Tidak Mahu Makan



Untuk masalah anak tidak mahu makan, biasanya kita akan berikan vitamin untuk selera makan, ubat cacing atau menghidangkan makanan lazat yang membuatkan anak lihat berselera untuk makan.

Kalau anak tetap tidak mahu makan, biasanya ibu bapa buat helah berikan upah atau menakut nakutkan supaya si anak terpaksa makan. Kaedah ini salah kerana bersifat sementara dan mendidik anak dengan cara yang salah kerana membentuk tabiat buruk anak pada masa panjang. Apa lagi suasana marah dan ketegangan berlaku untuk memaksa anak makan. Jangan jadikan waktu makan adalah waktu yang menakutkan bagi anak.

Sebenarnya ada dua keadaan si anak tak mahu makan yakni menolak makan atau menahan makan. Menolak makan mungkin disebabkan kurang selera. Kalau kesihatan pulih, anak akan berselera makan semula. Menahan makan pula mungkin menandakan protes. Itu cara mereka memberi tindak balas untuk menunjukkan bantahan, rasa benci, kesunyian atau sengaja mahukan perhatian. Adakalanya makan beramai ramai akan menarik minat anak anak untuk makan, terutamanya disertai ramai rakan sebaya.

Biasanya tabiat tidak mahu makan ini bersifat sementara dan tidak perlu dibimbangkan. Namun jika berlarutan, perasaan lapar atau nafsu makan boleh hilang. Mereka ini sebaliknya boleh aktif kerana tiada terkesan dengan menahan makan. Ini membuatkan berat mereka susut kerana kadar metabolik tinggi dan tisu lemak dibakar dengan cepat.

Adakah mereka mahukan kurus? Anak kecil biasanya tidak terfikir mahukan kurus, tetapi anak gadis remaja berkemungkinan menahan makan kerana mahukan kurus. Bahayanya kemudaratan bukan saja timbul masalah kesihatan dan kekurangan zat tetapi boleh menyebabkan terputus haid dan tekanan perasaan. 

Perasaan kenyang dan lapar ditentukan oleh proses yang melibatkan di bahagian tengah otak, iaitu hipotalamus. Kedua-dua perasaan ini dikawal oleh pusat kenyang (satiety centre) dan pusat lapar (hunger centre) terjadi dengan secara tidak disedari dan diluar kawalan.
Sumber: vivo.colostate.edu


Sumber: science.sciencemag.org
Pada keadaan normal, rasa lapar boleh berlaku sekiranya terbau makanan menyelerakan, dipersekitaran sejuk atau waktu sembuh dari sakit. Apabila tidak sihat dari fizikal dan emosi, rasa lapar atau kenyang dengan sendirinya berkurangan atau terganggu.

Salah satu solusi ialah mengelakkan pengambilan junkfood yang lebih menyelerakan, merawat punca sebenar, pertingkatkan suasana ceria, keharmonian persekitaran dan rawatan tabiat anak. Tabiat ialah sesuatu yang diperolehi hasil daripada didikan dan suasana rumah. Kebanyakan punca berkaitan bentuk asuhan penjaga dan suasana persekitaran. Misalnya, penjaga tidak mendidik anak berkenaan aktiviti permainan dan menonton tv dari peringkat awal. Anak biasanya tidak rasa lapar ketika bermain atau menonton tv, masa lapar timbul apabila permainan selesai atau selepas menonton tv.

Penjaga juga hendaklah prihatin dan mendidik tentang masa, khasiat dan keperluan makan supaya naluri anak diperbetulkan dari awal. Anak sebenarnya tidak tahu membezakan makanan mana yang berkhasiat dan mana satu yang tidak berkhasiat. 

Terdapat juga penjaga tidak suka keadaan bersepah di meja makan, maka kemarahan pada anak membuatkan anak tidak selera untuk makan. Makan bersepah adalah sikap semulajadi pembentukan anak-anak untuk lebih matang sebagai proses kehidupannya. Semoga penjaga dapat mencorak hidup anak-anak dengan bentuk didikan yang baik untuk membentuk tabiatnya sehinggalah dewasa.


No comments:

Post a Comment