Wednesday, 31 July 2019

Penyakit Ain adalah punca utama masalah kesihatan & bisa membunuh!



Penyakit Ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata orang lain yang disertai dengan rasa kagum atau sifat iri hati kepada mangsa. Pandangan ini boleh terjadi dikalangan keluarga, orang yang disayangi, orang jahat atau orang luar yang dikenali ataupun tidak dikenali. Ibnu Hajar rahimahullah berkata “Bahawa ‘ain dapat terjadi bersama rasa takjub walau tanpa adanya sifat iri, walaupun dari orang yang mencintai ataupun dari seorang yang soleh (tanpa disengaja).” [Fathul Baari, 10/205]

Pandangan ini menyebabkan terjadi kemudaratan terhadap siapa yang dilihat itu. Menurut dalam hadis Musnad Ahmad, “Al-Ain adalah benar yang didatangkan oleh syaitan, dan oleh hasad dengki anak Adam”. 

Penyakit ain ini sememangnya wujud dan bukan khurafat sepertimana yang disangka kan oleh masyarakat moden sekarang. Penyakit ini mudah dideritai oleh bayi yang masih belum kuat ketahanan dirinya. Inilah yang sering diberi perhatian oleh masyarakat Melayu mengelak puji-pujian kepada anak-anak yang baru lahir. Hindarkan juga mengungkap kelebihan-kelebihan yang dimiliki anaknya, kerana hal itu dikhuatirkan akan menimbulkan ketakjuban ataupun iri hati pada orang lain.  Dari sabda Nabi saw;
Daripada Abdullah bin `Amir, “Apabila seorang dari kalian melihat sesuatu dari saudaranya, atau melihat diri saudaranya, atau melihat hartanya yang menakjubkan, maka hendaklah ia mendoakan keberkahan untuk saudaranya tersebut, kerna sesungguhnya penyakit ‘ain benar-benar ada.” (Riwayat. Ahmad)

Sebagaimana pernah terjadi di zaman Nabi saw. Dari Zainah puteri Ummu Salamah dari Ummu Salamah r.a  bahawa baginda melihat seorang anak perempuan di rumah Ummu Salamah. Di wajah anak itu ada warna kehitaman. Beliau kemudian berkata kepada Ummu Salamah,
“Ruqyahlah dia, kerana dia terkena ‘ain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun penyakit ini tidak terhad pada bayi atau kanak-kanak sahaja, juga boleh menimpa kepada orang dewasa. Antara itu sebabnya Islam melarang 'majlis bersanding' adalah demi menjaga pengantin terbabit dari terkena 'penyakit ain' yang boleh memudaratkan pasangan pengantin terbabit. Begitu juga dengan gambar-gambar dari media sosial boleh mendatangkan kemudaratan punca penyakit ain. Sebagaimana pernah terjadi pada sahabat Nabi, Sahl bin Hunaif yang terkena ain dari sahabat yang lain, iaitu Amir bin Rabiah. 

“Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, ia berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika ia sedang mandi, lalu Amir terlihat dan berkata: Aku tidak pernah melihat kulit yang sebagus ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun. Maka tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lalu beliau dibawa kepada Nabi saw, seraya dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Beliau bersabda: “Siapa yang kalian curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Beliau bersabda: “Kenapakah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Seharusnya apabila seorang dari kalian melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah ia mendoakan keberkahan untuknya.” Kemudian beliau meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu, Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam sarungnya. Dan Nabi saw memerintahkannya untuk menyiramkan kepada Sahl.” Berkata Sufyan, berkata Ma’mar dari Az-Zuhri: Beliau memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Jelas juga penyakit ain mampu mendatangkan kematian walaupun tidak disengajakan dari zahirnya. Sebagaimana sabda Nabi saw;
“Kebanyakan yang mati pada ummatku setelah qadha dan qadarnya Allah adalah kerana pengaruh pandangan mata jahat” (Riwayat Bukhari)

Bagaimanapun penyakit ain boleh diubati dengan ruqyah, sebagaimana Nabi memerintahkan Aisyah supaya mengambil ruqyah untuk penyakit Ain’
“Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat) kecuali untuk penyakit ‘ain atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda mengajar juga berkenaan ruqyah yang bersesuaian menghindarkan penyakit ain sewaktu melindungi cucunya, Hasan dan Husin, iaitu;
أَعُيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
 “Aku memperlindungkan kalian berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna dari setan, binatang berbisa dan mata yang dengki (makna yang lain: segala macam bahaya).” (Riwayat Bukhari)

Untuk mengelakkan al-Ain terkena kepada orang lain, juga digalakkan menyebut zikir apabila melihat sesuatu yg mengkagumkan. sebagaimana saranan al-Quran: “Dan mengapakah tidak apabila kamu memasuki kebunmu, kamu berkata: Masya Allah, La haula wala quwwata Illa Billah”. (petikan dari surah al-Kahfi ayat 39)

Selain itu jika pelakunya diketahui, maka orang tersebut diperintahkan untuk berwudhu sebagaimana kisah Sahl dan Amir. Bekas wudhu orang tersebut digunakan untuk memandikan mangsa yang terkena ‘ain. Jika tidak diketahui siapakah puncanya, maka ruqyahlah penawarnya. Perbanyak membaca surat Al-Ikhlas, An-Nas dan Al-Falaq, Al-Fatihah, ayat Kursi, 2 ayat terakhir surat Al-Baqarah, dan mendoakan dengan doa-doa yang disyariatkan. Lalu ditiup pada air dan diberikan minum dan mandikan kepada mangsa.

2 comments: